Monday, December 17, 2012

Nota Untuk Pengganti


Jangan bagi dia Ros merah, 
Sebab dia lebih suka Ros putih
Dia suka makan, 
Tapi dia paling suka makan ayam
Dia suka makan benda-benda manis,
Awak kena jaga benda ni, jangan bagi dia makan banyak benda manis
Jangan bawak dia tengok cerita hantu, 
Sebab dia tak suka dan dia senang takut
Kalau makan udang, 
Tolong dia asingkan kulit
Dia suka hand bag,
Tapi tak perlu belikan dia, sebab dia dah ada banyak
Dia suka warna pink,
Mungkin senang bagi awak nak pilih apa-apa nanti
Dia cepat sejuk,
Jadi jangan biarkan dia lama-lama kat tempat sejuk
Jangan pakai full cap,
Sebab dia tak suka awak nampak macam budak-budak
Kalau tengok wayang,
Dia lagi suka duduk sebelah kiri
Jangan pakai jeans koyak,
Sebab dia tak suka awak nampak selekeh
Dia suka orang yang kemas,
Jadi dia lebih selesa awak berkemeja dan berloafers
Dia suka seseorang yang romantik dan paling suka Robert Pattinson,
Jangan cuba jadi Edward Cullen, jadi diri sendiri
Dia takut kucing, ular dan tak suka binatang,
Pastikan semua-semua benda ni jauh dari dia
Dia suka perhatian,
Kalau awak mampu, jumpa dia sekerap mungkin
Dia suka awak bangga dengan dia,
Awak kena tunjuk benda ni, percaya lah
Dia suka lagu-lagu Boyz II men or MLTR masa Majlis perkhawinan nanti,
Jadi awak kena tahu benda tu
Dia suka Cincin Tiffany & Co, dia lagi suka yang ada sebijik batu yang timbul,
Jadi awak boleh usahakan kalau awak mampu
Jangan paksa dia untuk buat apa-apa yang dia taknak,
Sebab dia keras kepala sikit, tapi lama-lama dia akan buat
Dia ada masalah cemburu yang sangat teruk,
Jadi awak kena hormat benda tu
Kalau boleh jangan layan perempuan dekat Facebook or Twitter,
Sebab dia tak suka awak over friendly 
Jangan cuba buat pelik-pelik dan artistik,
Sebab dia lagi suka awak jadi biasa dan normal
Dia suka awak buat apa-apa dulu,
Jadi jangan tunggu dia buat apa-apa dulu
Jangan pernah bergurau dan cakap dia gemuk,
Sebab dia tak suka dan cepat terasa
Sebelum awak sayang dia,
Awak kena belajar terima kawan-kawan dan family dia
Jangan pernah curang,
Sebab dah banyak kali dia kecewa
Paling penting, jangan jadi Public Figure,
Sebab dia tak suka orang bagi awak perhatian


Buat masa ini, ini saja yang mampu saya tolong awak, sebab saya tak diberi lebih masa untuk tahu lebih tentang dia, masa saya tulis nota ni, saya tengah menangis sungguh-sungguh dalam hati saya, kalau awak taknak benda ni jadi, awak hargai lah dia, dan betul-betul jaga dia sepenuh hati awak, sebab saya dah tak berpeluang untuk buat macam tu lagi. Dulu dia pernah tanya saya, sebab apa saya tak pernah tulis apa-apa yang baik tentang dia, maaf...saya tak reti untuk tulis tentang apa-apa yang dah cukup sempurna, jadi saya cuma mampu untuk hargai benda tu dalam realiti, tapi salah saya untuk tak tunjukkan benda tu...Jadi, awak tolong lah jagakan dia untuk saya.


Tuesday, December 04, 2012

Terminal Hati



                                                PESAWAT       DESTINASI      MASA
                                                R4SA 0143         CINTA            1430
                                                R4SA 1902         CINTA            1740
                                                R4SA 0510         CINTA            2030


* Ping! Pong! (Bunyi pembesar suara berkumandang)

Perhatian kepada penumpang-penumpang pesawat udara R4S4 0143, penerbangan ke destinasi seterusnya akan mengambil masa kira-kira satu jam dari sekarang, sila pastikan destinasi anda sebelum berlepas. Terima Kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami di Terminal Hati.

"Haaa...Lambat lagi flight aku ni...Nasib baik..Lepak dulu la..."

Dia berjalan menuju kawasan terbuka bertempat duduk, sambil mencari tempat kosong yang sesuai jauh dari manusia-manusia lain. 

"Duduk sini je la, dah memang jadi faveret aku duduk kat area sudut-sudut ni. Lagi pun senang, tak kacau orang lain, boleh nampak semua perjalanan kehidupan dan ragam manusia dari sini. Ahhhh..tenang..."

Monolog dia dalam hati, sambil mengeluarkan buku Amerika tulisan Rindwan Saidi dari beg sandang dan mula menyelak halaman terakhir yang disentuhnya semalam.

Selepas 10 minit lena dalam bahasa tersirat dengan pelbagai persoalan yang lahir dari setiap ayat, seorang gadis jalan menghampiri dia. Dia mula hilang konsentrasi. Dia mula kaget, tapi dia cuba melahirkan mesej visual yang dia masih lagi tenang dan mampu mengawal situasi. 

Perkara pertama yang pasti diamatinya, pipi, tempat tersimpannya kecacatan indah kurniaan Tuhan yang cukup dipuja-puja dia, lubang yang pernah buat dia jatuh kedasarnya dan akhirnya dia terluka. Dia senyum, tak pernah serik dengan memori, dalam masa menunggu senyumanya berbalas, matanya masih tetap pada sisi muka itu dan berharap. Senyumanya berbalas manja, yaaaaa! gadis berlesung pipit! Lantas gadis itu melabuhkan punggungnya di sebelah dia.

"Erkkk...Hye.."
"Hello..."

Sapaan itu dijawab lembut, bersulam senyuman, sekali lagi matanya ditipu lubang dipipi itu. Bangang.

"Nak kemana ni?
"Emmm...Cinta..."
"Oooo...Buat apa pergi sana?"
"Melawat jodoh...Lama dah tak jumpa dia..rindu.."

Api harapan itu dipadam taufan. Gadis itu tak lokek dengan senyuman. Lalu gadis itu mula berani bertanya

"Nama awak sape?"
"Saya? Awak boleh panggil Bear.."
"Hihik! Comel!"
 
Celaka, ayat gadis yang paling celaka untuk buat dia perasan sendiri seketika.

"Nama awak sapa?"
"Errmm...Saye Kimi.."
"Oooo...sedap nama..macam makanan korea"
"Hihik! mane ade laaa"

Sekali lagi monolog celaka yang tak mungkin dimakbulkan Tuhan menjelma dalam minda dia

"Haishhhhhh kalau la kita pernah jumpa dulu sebelum kau jumpa jodoh kau tu kan senang?"

Suara merdu itu membunuh ketenangan seketika

"Eh kejap, lupa tanya awak tadi, awak nak pergi mane ni? ke, awak tunggu orang kat terminal hati ni?"
"Saya? Lambat lagi flight saya ni, tak keluar kat board tu lagi pun destinasi saya...jauh destinasi saya tu"
"Yelaaa, tau la jauh, semua orang pun yang naik kat sini pergi jauh-jauh kan? tapi awak pergi mana?"
"Saya? Destinasi yang terakhir....MATI..."
"Owh..Jauh tu, pergi berapa lama?"
"Hurmm...selama-lamanya kot, taknak balik dah, lagi pun dah takde apa-apa dah untuk saya kat sini"
"Ok laaa awak, saya nak kena gerak dulu ni. Nice to meet u! Take care kat sana nanti ok?
"Tak janji! hahaha..Nice to meet u too! Awak pun sama, jaga diri elok-elok, kirim salam Jodoh awak tu nanti"
Bye-bye!

Ucapan itu cuma mampu dibalas dengan senyuman yang terakhir sambil kata-kata itu cuma tersimpan dalam hati "Selamat tinggal makhluk indah ciptaan tuhan yang takkan mungkin aku berpeluang memilikinya sampai bila-bila"

"Ahhh...sorang lagi, datang dan pergi..haishhh..takpa laaa, lama lagi flight ni, moga-moga ada yang lain nanti, jodoh pertemuan kan di tangan Tuhan?"

Dia kembali menyandar di kerusi itu, dan menyambung kembali membelek novel ditangannya tadi.

yaa...aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...
 



Friday, November 23, 2012

Lari Dari Syurga




Alhamdulillah...Dengan Nama Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ini bukan sekadar buku pertama, ini sebahagian dari dendam yang aku lunaskan, dulu...kerana menulis, aku dituduh gila, dihina, dimaki, dibenci, sehingga satu tahap aku sendiri tertanya, benarkah aku tidak normal? Tapi, setelah lama aku berjalan, belajar, dan memerhati, aku temui isi, yang dulunya aku sangsi, tak semua diberi kelebihan begini, dua watak berbeza dalam satu jasad yang sama, aku gunakan kedua-duanya, untuk buktikan satu demi satu tuduhan mereka salah. Jadi aku dedikasi buku ini khas buat satu kumpulan manusia yang sering merasa bangga dengan dosa, berasa tuhan dunia bila mereka bersama, ada juga yang dah turut berubah, tak mengapa, masa mereka bakal tiba. Nanti bila mereka punyai zuriat, aku mohon pada Tuhan, moga-moga ianya bertukar sumpahan, semoga tempias dari ketidaknormalan ini lahir sama dalam diri baka-baka mereka, dan masa itu, mereka bakal faham bagaimana rasa sebenarnya bila dituduh tanpa usul periksa. Maaf, andai bersekedudukan itu normal, aku rela jadi tak normal, andai mencintai kaum sejenis itu normal, aku rela jadi tak normal, andai meneguk raja segala kejahatan itu normal, aku rela jadi tak normal. Kesimpulannya dari mencuba menjadi kamu dan kamu untuk aku diterima normal, maaf, aku memililh menjadi diri sendiri dan memilih menjadi tidak normal.

Yaa...ini dia buku pertama aku, Lari Dari Syurga, aku merupakan salah satu dari 17 menulis yang terpilih menyumbangkan karya mereka untuk dibukukan, mungkin sebagai tapak permulaan ianya diterima untuk dikongsi bersama, definisi pada setiap mereka mungkin berbeza, tapi bagi aku, ini satu tangga, untuk buat aku lebih berusaha. Boleh jumpa tulisan aku di halam 115. Ada cerita yang bakal menyentap dada, mohon sediakan tisu bersama. Aku diberitakan dengan setiap pembelian buku Lari Dari Syurga yang berharga Ringgit Malaysia 20 ini, satu ringgit akan disumbangkan ke Gaza, bagi membantu apa yang kurang disana, mulia bunyinya bukan? Ingat bukan bangga yang kita cari, cuma ikhlas itu bakal diterima nanti.

Bila aku ditanya, kenapa menulis? Jawapan aku sama, untuk semua soalan mengapa, Kekecewaan demi kekecewaan. Bila kau jatuh disatu tempat dalam diri, yang buat kau tak mampu berdiri tapi jasad kau tetap ceria buat orang lain tertawa, maka itu raja segala kesedihan, kau berperang dengan rasa sendiri, kau korbankan segala kesedihan dan kekecewaan yang kau miliki, untuk bersungguh-sungguh mahukan orang lain ketawa, hilangkan resah dan sedih mereka. Kau tak mungkin faham bukan? Rasa tersembunyi itu berjaya melahirkan seorang lagi aku di alam yang berbeza, yang tak mungkin kau jumpa didunia biasa, dan buat kau bakal tertanya-tanya.

Terima Kasih Buku Hitam kerana sudi memberi aku peluang untuk berkongsi rasa, masih banyak yang aku perlu belajar dan perbaiki, cuma aku ada cara aku sendiri. Apalah sangat ucapan terima kasih ini andai dibandingkan dengan peluang yang diberi, tapi ini saja yang termampu buat ketika dan masa ini, dan aku akan terus menulis lagi, selagi rasa bersendi dihati, selagi masa belum terhenti, selagi belum dijemput pergi. Ayuh dapatkan segera! Ayuh lari bersama!

yaa...aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...



Tuesday, November 06, 2012

Baling



Suara suatu petang yang hiba dari celahan kedai permainan "Baling Tin" di suatu tapak FunFair yang sepatutnya menjanjikan memori-memori indah dan ceria.

Boy : Akak...tolong laaa...sekali je lagi, bagi la saya peluang untuk baling sekali lagi...takpe saya sanggup bayar berapa berapa sekali pun...ok?

Kakak : Tak boleh, akak dah bagi adik 3 biji bola kan? adik tak dapat jatuhkan satu je lagi kan? Dah, tu je peluang adik.

Boy : Tapi akak, knape orang lain boleh bayar lagi dan baling banyak kali? Tadi mamat tu rasanya dia dah 5 kali baling, boleh je pun kan? Ade sorang lagi mamat tu, lagi laaa, baling kena 2,3 tin je jatuh pun dan dapat hadiah kan? takkan sebab dia hensem akak bagi dia hadiah? alaaaa akak, tolong skaaaali je lagi..pleaaaseee? (matanya semakin berkaca)

Kakak : Eh, suka hati akak la, akak nak bagi sapa baling berapa kali ke, nak bagi hadiah kat sape ke, akak dah kate tak boleh, so...tak boleh la kan? tak paham bahasa ke?

Boy : Akak tolong laaaa saya merayu, saya nak hadiah berbentuk hati tu, saya pernah ade dulu, dah hilang, sejak hari tu, tidur saya dah tak pernah lena lagi, malam-malam saya dah takde lagi mimpi dan siang saya dah takde erti lagi, tolong laaa akak, saya janji, saya baling betul-betuuuuul kali ni, saya baling dengan sepenuh hati saya...tolong la kak..tolong laaa

Kakak: Adik, adik ni kenapa? Dah! akak dah bagi peluang sekali tadi kan? Pastu adik tak jatuhkan semua tin tu kan? Adik dah dapat peluang tu kan? So, dah la, tak payah merayu lagi ok?!

Boy : Tapi akak, saya dapat peluang tu sekali je kak, tolong la...saya nak sangat-sangat hadiah berbentuk hati tu...saya tak boleh hidup takde benda tu akak..tolong laa akak...(air mata mula terbit dari hunjung mata yang merayu itu)

Kakak: Dah la, akak nak tutup dah kedai ni...Dah, tak payah nak cuba lagi, pergi balik..tak guna nak merayu-rayu lagi dik, memang akak takkan bagi

Boy : Takpe la akak, saya takkan mengalah, saya akan tunggu kat sini sampai akak bukak balik kedai ni. Saya akan cuba jugak macam mana sekali pun untuk dapatkan hadiah berbentuk hati tu. Tak kira berapa lama sekali pun saya kena tunggu kat sini. Saya tak pernah peduli apa orang nak kata, sebab saya tau apa saya nak, lagi pun diorang tak pernah rasa apa yang saya rasa. Andai ditakdirkan tuhan, saya mati dan gagal sekali pun, sekurang-kurangnya saya mati dan gagal dalam usaha saya mencuba untuk dapatkan cuma satu lagi peluang dan mungkin peluang tu...yang terakhir dalam hidup saya...

yaa...aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...



Wednesday, October 17, 2012

Lensa


Aku renung dalam dalam mata itu
Dan berharap ada sinar yang sama dalam mata
Yang pernah memandang aku dengan cinta dulu
Tapi sayang, rupa-rupanya sinar itu telah lama hilang
Dan aku tertipu dengan bayang-bayang harapan sendiri

Celaka, aku terleka seketika

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...



Sunday, October 07, 2012

Pelabuhan Hati



Selamat Datang ke Pelabuhan Hati
Setelah penat belayar tanpa hala tuju
Mencari destinasi cinta sejati yang makin kabur
Ayuh singgah disini seketika
Membina memori-memori sementara
Menambah bekalan kasih sayang yang semakin berkurangan
Menjahit kembali layar ilmu yang telah rosak dirobek kebodohan
Disini juga boleh diperbaiki tiang utama percaya yang telah rosak
Mungkin dipukul badai janji
Mungkin rosak dimamah iri hati dan cemburu
Atau dikunyah musuh utamanya serangga perosak berketurunan curang
Jangan kuatir di pelabuhan ini ada segalanya
Bekalan kasih sayang yang tidak terperi
Bekalan rindu yang sentiasa disimpan rapi
Dan tiang tiang percaya yang sentiasa kukuh menanti
Ilmu dan pengalaman itu sudah pasti banyaknya tidak terperi
Setelah hilang penat dan semua bekalan telah diperolehi
Angin asmara yang bermusim itu bertiup lagi
Kali ini seakan-akan menghembus janji pasti
Destinasi yang kabur dulu kini terang kembali
Segala memori di pelabuhan ini bakal dilupa
Bakal ditinggal di sini, terkubur selama-lamanya
Segala ilmu dan bekalan di pelabuhan ini kelak bakal diguna 
Semata-mata untuk menuju ke sana
Destinasi indah yang kononya bakal menjanjikan bahagia
Bekalan dari pelabuhan ini percuma
Tidak pernah perlu dibayar atau perlu ditukar dengan apa-apa
Semua kapal-kapal itu cuma lalu dan singgah
Tiada satu pun yang setia menetap di pelabuhan ini selamanya
Mungkin selepas ini ianya akan terus ditutup
Tidak lagi tertanggung melihat satu persatu kapal-kapal itu berlalu
Setelah pasti hala tuju, setelah sempurna segala hajat dan niat
Pada awalnya pelabuhan itu cuma ingin membantu
Kerana berharap ada yang bakal menetap di situ
Namun segala harapan itu palsu
Mungkin pelabuhan itu bagi mereka tidak bernyawa, berjiwa dan punyai rasa
Kerana itu dipersia begitu saja
Tiada langsung sedikit ruang mahupun peluang 
Cuma diguna buat persinggahan seketika
Percaya? Benda yang paling mustahil untuk dibawa kesini
Kerana di pelabuhan ini ianya dicipta, 
Diperbaiki dan diletak semula ke tempat asalnya
Bagi yang terluka, ayuh singgah 
Selagi ada masa, selagi pelabuhan ini masih setia pada yang tiada
Catatan ini terus dari tebing pelabuhan hati
Moga akan ada yang sudi mengerti

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...


Thursday, September 27, 2012

Asap



Kau ibarat asap...yang dinyalakan dari sebatang rokok
Hadir kau cukup memberi erti dan ibarat nyawa pada sesetengah mereka
Makin dalam kau di sedut
Makin pekat rasa
Makin bermakna
Rasa itu misteri tapi cukup indah
Penawar duka
Pelali masalah
Tenang seketika
Rancak kau bermain dalam dada
Berlari ceria di celahan peparu
Lantas naik ke otak
Mencuit saraf mata untuk tertutup seketika
Untuk tunduk menikmati setiap saat yang ada 
Untuk menghargai setiap detik bersama
Perlahan-lahan kau ku hembus
Lenggokmu terlalu mempersona 
Dibuai angin yang datang menyapa
Tiba-tiba kau makin hilang
Makin jauh dibawa pergi
Dan lesap tanpa simpati
Satu saat kau memberi erti
Saat berikutnya kau tak bermakna lagi
Kau tinggalkan kesan 
Untuk aku ratapi nanti
Yang bakal kekal dalam dada
Memori masa indah bersama
Tapi cuma seketika
Dan sakit ini bakal selamanya
Tak mengapa
Habis nanti aku sedut lagi
Lebih dalam
Habis sekotak
Aku beli lagi
Ketagih dengan keseronokan sementara
Ketagih dengan janji setia
Walaupun tak pasti di mana mula
Hadir mu bersama erti? atau bencana?
Tapi aku percaya ketentuan yang Esa
Setiap yang berlaku punya makna
Hilang lah kau dalam angin yang tidak berupa
Selamat jalan asap-asap celaka


yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati
 
 

Saturday, September 08, 2012

Kasut


Boy: Awak...awak ambil la kasut ni, awak pernah pakai dulu, saya tahu, kasut ni dah tak cantik macam dulu, saya dah pernah koyakkan, tapi saya dah sungguh-sungguh jahit balik, merata saya cari benang yang sesuai untuk jahit balik kasut ni, lama saya tak tidur sebab fikir macam mana nak tampal balik koyak yang saya buat tu. Dulu, kasut ni yang awak paling sayang, dengan kasut ni, dah jauh awak jalan. Saya pernah cuba bagi kasut ni kat orang lain, saya ingat dia boleh jaga kasut ni elok-elok, tapi saya silap dia tak hargai pun kasut ni, dia pakai, lepas tu dia koyakkan. Jadi saya ambik balik, saya bersihkan balik, saya baiki balik, sebab saya taknak bagi orang lain dah kasut ni, saya nak bagi awak je.
Girl: Hurmm...takpe la awak, awak simpan la, saya dah ada kasut baru, yang lagi ok dari kasut tu sebenarnya. Kasut tu pernah bagi kaki saya sakit la, sebab tu saya tinggalkan, lagi pun dah koyak, dah kotor la, kenapa awak nak cuci nak jahit balik kasut tu? Lagi pun, lepas saya dah tak pakai kasut tu, awak dah bagi kasut tu kat orang lain kan?
Boy: Ye awak, saya bagi kat orang lain, sebab saya nampak awak dah pakai kasut baru, lagi cantik, lagi mahal dari kasut yang saya pernah bagi dulu, jadi saya rasa kasut yang saya bagi tu perlukan tuan yang baru, saya percaya yang tuan yang baru tu boleh sungguh- sungguh jaga kasut ni, tapi tak, baru kejap dia pakai, dah dia koyakkan, dia tak sungguh- sungguh pun cuba nak jaga kasut ni. Saya silap, sebab saya terlalu percaya.
Girl: Kalau macam tu, awak letak je la kasut tu kat situ, saya lebih selesa pakai kasut baru ni laa, walaupun saya tak sayang kasut ni macam kasut yang awak bagi dulu, tapi saya nak kasut ni. Kalau nanti saya dah tak selesa ke, kaki saya dah besar ke, atau kasut tu hilang ke, saya pakai la kasut yang awak bagi tu ok?
Boy: Eh, jangan la...awak pakai la kasut baru awak tu, lagi pun nanti apa pulak orang cakap awak pakai kasut buruk yang saya bagi ni, takpe la, mungkin satu hari nanti akan ada orang yang lebih perlukan kasut saya ni, mungkin dia akan hargai lebih dari awak pernah hargai dulu. Jagalah kasut baru awak tu betul-betul...Jaga diri awak elok- elok...Selamat tinggal awak...

* Berlalu pergi dengan tangannya erat memeluk kasut dan juga nyawanya itu kemas didada

Boy: (monolog dalaman) Takpa la awak, saya tahu, awak taknak pakai pun kasut saya bagi ni, saya tahu kasut ni takde nilai, tak secantik kasut baru awak. Tapi sekurang-kurangnya saya cuba jahit dan bersihkan balik kasut ni. Sebab saya tahu, awak selesa dengan kasut ni, sungguh-sungguh saya buat macam-macam untuk bagi awak pakai balik kasut ni. Tapi awak dan taknak pun. Saya dah tak mampu nak buat apa-apa lagi. Sebab, awak dan seronok dengan kasut baru awak. Awak suruh saya tinggalkan kasut ni kat sini, sebab awak takut, kalau-kalau kasut baru yang awak pakai ni hilang, sekurang-kurangnya awak dah ada kasut saya ni untuk dibuat ganti. Maaf awak, saya tak mampu tengok kasut saya ni dijadikan kasut simpanan dan hanya dijadikan ganti atau salah satu pilihan selepas apa-apa jadi pada kasut baru awak tu nanti, saya tak sampai hati nak biar kasut ni tertunggu-tunggu awak sarungkan kaki awak dan berjalan gembira macam dulu. Saya pernah simpan harapan tu, dan sekarang, biar la harapan tu terkubur sekali bersama jasad saya ini...selama-lamanya..


yaa...aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...

Tuesday, September 04, 2012

Takziah

Banyak tarikh dibatu tanda itu
Ada yang lama
Ada yang cuma seketika
Semua berkongsi impian yang sama
Satu cita-cita 
Bahagia hingga ke hujung cerita
Namun semuanya terkubur disini selamanya
Terdiam dan tamat di pusara cinta

Hari ini aku disini
Mengusung jenazah hati
Yang kemas dikapan janji
dan terikat dengan memori
Aku turunkan ia tujuh kaki dalam
Aku kambus dengan tenang
Dengan sedikit luka yang berbaki
Biarkan harapan itu dimamah ulat
Biarkan ianya sebati dengan tanah
Aku talkinkan dengan rindu yang pernah bertamu dulu
dan aku siramkan dengan air mata darah yang masih ada
Bila tujuh telapak ini melangkah pergi
Ianya takkan kembali lagi
Selamat tinggal Bidadari
Terima kasih untuk segala suka dan sakit hati

Takziah...HATI...

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dah terus memerhati...


Monday, August 27, 2012

Potret

Indah tanpa suara
Nyata tanpa cerita
Aku tenung dalam-dalam
Gembira
Semuanya berkongsi rasa yang sama
Dia?
Sudah tentu yang maha ceria
Hari bahagia
Hari Indah
Hari bermakna
Semua mereka disitu
Watak yang sepatutnya dibenci itu
Juga berkongsi rasa
Cuma terpisah beberapa tapak
Namun berkongsi cahaya lampu limpah yang sama

Tiba-tiba aku sedar
Satu watak yang penting tiada
Tidak mendapat tempat dalam potret yang sama
Mana dia?
Mana silapnya?
Ini detik yang terakhir
Sebelum benua pisahkan kita
Sebelum masa dicuri cita-cita
Sebelum teknologi penghubung utama

Ahh...
Kalau dah terbaik begini
Biarkan lah
Lihat dari jauh mungkin lebih sempurna
Takut hadir aku nanti
Mengundang bencana
Mencacatkan suasana
Merubah jalan cerita

Tak mengapa masa... aku dah terbiasa bermandi hina...


yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...
 

Thursday, July 26, 2012

Merdeka



Awal-awal sebelum pandangan dan ideologi aku diterjemahkan, aku ingin menyatakan dengan keras bahawasanya aku seorang non-partisan, aku tidak terikat dan menyokong mana-mana parti politik tanah air. 

Persoalan yang kerap menendang kotak pemikiran aku pada waktu ini ialah Logo rasmi 55 tahun Merdeka. Aku keep on bertanya pada diri, macam mana dia dapat idea untuk berani ketengahkan logo tu? dia siapkan logo tu sejam sebelum dateline kah? atau ini merupakan salah satu sifat melayu yang sering diwar-war kan dalam peribahasa "Seperti melepaskan batuk ditangga?". Jawapanya masih tergantung, tanpa penyelesaian dan mungkin akan berakhir dengan tanda tanya. Ramai sangat yang mempertikaikan tetang logo kemerdekaan 55 tahun ini dan kini telah bertukar menjadi pandemik gurauan yang terkini. Kalau nak diikutkan, design yang sebegitu rupa boleh disiapkan dalam masa 1 jam dan cuma menggunakan perisian yang paling mudah dan boleh digunakan oleh semua orang iaitu microsoft word. Aku bukan lah nak mempertikaikan bakat seseorang, yang aku cuba ketengahkan, ialah eksklusiviti dan nilai-nilai estetika sesuatu idea itu.

Mungkin tahap seni yang ada dalam diri aku terlalu rendah untuk memahami makna rahsia disebalik logo tersebut atau sebenarnya logo itu terhasil tanpa penelitian dan pemikiran yang lebih halus. Adakah logo yang sedemikian dapat menambahkan semangat patriotisme atau akan mengajak minda muda mudi untuk meragui usaha yang sedang dilakukan kerajaan? Jika tulisan yang berbaur kritikan ini pasti akan disangkal hebat oleh kerajaan kerana bakal dituduh pengkianat dan penderhaka, mari kita renungkan sejenak, jika aku bukan seorang yang patriotik dan sayangkan negara, adakah aku akan mempersoalkan logo ini oleh kerana tidak mahu negara kita dipandang rendah oleh orang lain? Jika begitu aku rela dikategorikan penderhaka. Bayangkan jika aku yang cuma mempunyai sedikit kemahiran untuk mendesign sesuatu ini mempersoalkan hal begini, apa pula yang bakal difikirkan oleh jutaan designer-designer diluar sana? Ini designer, belum kira pulak dengan puluhan jutaan rakyat malaysia yang turut berkongsi pelbagai pandangan pulak kan?

Sebelum ini kita terganggu dengan keaslian lagu Negaraku yang di kaitkan dengan lagu Mamula Moon dan La Rosalie, kemudian pula kita digemparkan dengan beberapa tulisan yang mendakwa bendera malaysia diciplak dari bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris dan bendera Amerika Syarikat. Bagi pendapat aku, jarang rasanya idea itu berlari selari dan secara kebetulan hampir sama kedua-dua hasil yang tercipta ditempat dan tahun yang berbeza, dari segi logik, idea asal yang menjadi sumber inspirasi dan kemudian digarap untuk menyiapkan satu lagi lagu dan bendera yang baru mungkin boleh diterima, tetapi jika ianya hampir dan sangat mirip dengan yang asal, sehingga boleh dikenal pasti idea tersebut berasal dari mana, maka keasliannya boleh dipertikaikan. Perkara ini sedikit sebanyak, telah mencalar kepercayaan dan menimbulkan keraguan terhadap Lagu dan Bendera rasmi negara.

Tidak cukup dengan itu, laksamana terulung Negara, yang menjadi icon inspirasi kepada individu di bumi Malaysia ini, Laksamana Hang Tuah pula dipersoalkan kewujudannya, bukti-bukti yang ada tidak cukup kuat untuk menyokong kewujudannya sebagai seorang pahlawan melayu. Pelbagai versi cerita yang kita boleh dengar tentang Hang Tuah. Tapi yang mana satu betul? yang mana satu nak percaya? atau mungkin Hang Tuah merupakan laksamana dari negara China? Bagi aku, secara individual, satu icon perlu diwujudkan, bagi mewujudkan jati diri Melayu itu sendiri, untuk buat kita lebih maju kedepan dengan kepercayaan yang kita pegang dari zaman dulu lagi, dan kita terus hidup dalam kepercayaan selagi tak bertemu dengan kebenaran. Tapi zaman mula berubah, setiap benda yang diceritakan, yang diwariskan dicari punca dan kebenaranya dari pelbagai aspek dan cara. Adakah lagenda ini benar-benar benar wujud atau cuma delusi yang diterjemahkan kedalam bentuk penulisan supaya kita cintakan budaya, bangsa dan tanah air kita sendiri?

Berpaksikan kebenaran, ramai yang mula mencari maklumat dan bersungguh-sungguh mempertikaikan keaslian sesuatu perkara yang telah lama mereka pegang dan percaya selama ini. "Qullil haq wala kana murran" berkatalah benar walaupun ianya pahit. Pepatah arab ini yang aku rasa paling bersesuai dengan situasi yang terjadi, tetapi mungkin kebenaran yang bakal tersingkap nanti cukup pahit sehingga kita terpaksa kehilangan identiti dan kepercayaan. Bertitik tolak dari itu lah kebenaran masih lagi terselindung dan kita masih percaya dari apa yang kita percaya sebelum ini walaupun beberapa kali kebenaranya terancam dan diragui.

Kadang aku terpanggil untuk turut mengamati nilai sebenar kemerdekaan, benarkah kita merdeka? yaa mungkin dari penjajah, tapi tidak minda. Tema bagi kemerdekaan tahun ini "Janji ditepati" aku memandang dari sudut seorang non-partisan, siapa tepati janji? Kerajaan yang memimpin? kalau betul tepati janji, bukan kah sepatutnya tema lebih bersifat universal? dan tidak digunakan sebagai medium untuk menarik perhatian pengundi? Kenapa temanya tidak lebih terbuka dan lebih kearah menaikan semangat cintakan negara yang melambangkan semua rakyat itu sendiri tanpa dibezakan dengan apa-apa parti? Aku mempersoalkan benda ini pada yang lebih dewasa, dan nyata idea aku diperlekehkan kerana mereka mempunyai parti yang disokong, adakah kita hari ini diterima dan dibeza-bezakan berdasarkan parti? aku yakin ada individu di Malaysia ini yang turut berfikiran macam aku. Jadi bagi mereka yang telah ditepati janji saja merdeka? yang janjinya tidak ditepati?

Aku bukan cuba menjadi pengkianat, jauh sakali inginkan kerakyaatan dari mana-mana negara yang lebih maju kedepan, cuma hak-hak individu sebagai seorang rakyat dan juga mewakili rakyat lain yang tidak terikat dengan mana-mana kumpulan politik tertentu ini sepatutnya tidak diabaikan, dan nyata, logo dan tema yang lebih baik boleh dicipta jika nilai atau sifat kronisme tidak dipraktikkan. Setelah satu persatu kepercayaan yang dipegang selama ini digoncang kuat dengan pelbagai konflik keaslian dan kesahihan, ditambah pula dengan semua pendekatan dan bantuan kerajaan yang berselindung disebalik retorik politik, juga hak rakyat yang telah dimanipulasikan dan digunakan sebagai medium berkempen, usah ditanya dimana Patriotisme?

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Saturday, July 14, 2012

Baju Melayu

Eh? Baru lepas bersanding ke?

Tadi ada kenduri kat mana?

Waaaah! Macam YB laaa!

Assalamualaikum ustaz!

Selamat Hari Raya!

Sebagai seorang remaja Melayu yang beragama Islam, aku dah terbiasa berbaju melayu di hari Jumaat. Dari awal pagi membawa ke petang, macam-macam soalan, dan gurauan yang menyapa minda aku dan buat aku terfikir seketika. Baju Melayu ni hanya untuk acara tertentu saja kah? atau memang tak releven lagi di pakai tanpa sebarang agenda?

Bagi aku, aku selesa berbaju melayu sebab aku bangga dengan identiti dan saki baki peninggalan budaya yang dicipta oleh bangsa aku sendiri dan aku sangat kurang senang bila mentaliti seorang melayu itu turut berubah seiring dengan masa dan arus perubahan zaman. Betul aku tak pernah lahir di zaman Hang Tuah, dan tengok sendiri macam mana Hang Tuah tanpan berbaju melayu. Walaupun aku langsung tak yakin dengan kewujudan Laksamana terulung itu. Tapi aku juga yakin yang Puteri Gunung ledang tidak memakai dress pendek untuk menawan hati jejaka pada zaman tersebut.

Dah jauh lari mentaliti kita, bila baju melayu hanya diwajibkan untuk acara-acara tertentu, dan lebih sinonim dengan aktiviti beragama. Dalam tak sedar, kita sendiri menghakis budaya yang tinggal dan tak mustahil satu hari nanti, Baju Melayu hanya mengambil tempat di kotak kaca muzium. Kalau bukan kita, siapa lagi yang kita nak harapkan untuk pakai baju bangsa ni? Aku bercakap tentang bangsa, dan bukan agama. Umat Islam di China or India, tak pakai baju melayu pun untuk tunjukan dia seorang yang beragama Islam, jadi sangat-sangat bangang rasanya kalau Baju Melayu ditafsirkan sebagai pakaian agama. 

Tidak kah membazir bila setiap Hari Raya, sepasang Baju Melayu di tempah, dan selepas musim perayaan terbiar berpuluh helai dalam lipatan dibawah penjuru almari? dan hanya dicari bila ada acara tertentu sahaja? Masa untuk ubah persepsi kita, aku faham, tak ramai manusia yang seberani Radhi OAG, untuk perform dikhalayak ramai berbaju melayu dan bersongkok. Tapi sepanjang hidup aku yang berbaju melayu tanpa sebarang sebab ni, aku tak pernah ditangkap Polis, jauh sekali dituduh pejuang berani mati dengan bom penuh berlilit dibadan kerana berbaju melayu. Kamon laaa...aku kadang respect jugak la macam mana gadis-gadis yang mampu berpakaian sexy mati di shopping mall, berjalan mudar mandir tanpa sebarang rasa khuatir mahu pun segan silu. Dari mana datang keberanian tu? wahyu tuhan? tak kot rasanya. Yang macam tu pun tak segan, ni kita yang berbaju melayu lengkap nak jalan sana sini hari biasa malu? 

Lagi pun bagi aku, sopan ja berbaju melayu, tak salah pun, dan tak pernah salah, mungkin panas lah sikit, tapi sekurang-kurangnya, mencuba untuk memertabatkan apa yang dikira sebagai salah satu identiti melayu yang tinggal. Tapi biar kena la pada tempat, kalau dah main bola petang-petang nak gagah berbaju melayu pun tak boleh jugak la kan? Biar sesuai pada tempat, biar kena pada gaya...Cuba tanya pada diri, kalau bukan kita, siapa lagi?

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...


Rindu

Dekat tak nampak
Jauh merana
Hilang tercari
Ada tak dihargai

Sunyi itu pasti
Mengadu pada hati
Bermain dalam minda
Berharap pada tiada

Nak capai jauh
Jerit tak sampai
Cari sembunyi
Jumpa tak mengerti


yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...


 

Thursday, July 05, 2012

Nisfu Syaaban yang tak sampai

Tiga kali bacaan Yassin itu berlagu keras
Tapi mungkin ditendang turun kerana tidak ikhlas
Tiga hari puasa ini silih berganti
Tapi mungkin dicampak ketepi kerana meninggi diri
Tiga ratus pintu rahmat dibuka
Tapi mungkin doaku sekadar mengetuk pintunya

Mana mungkin segala amalan ini diangkat
Andai ibadahnya cuma bila teringat
Mana mungkin permintaan ini dikirim
Andai hadirnya cuma bermusim
Mana mungkin pahala sunat kita tagih
Andai yang wajib pun kita letih
Mana mungkin tercapai segala hasrat
Andai iktikadnya selalu tersesat
Mana mungkin Luh Mahfuz tersusun rapi
Andai puji dan perhatian yang kita cari

Layakkah aku bertanya Jibril "Malam apakah ini?"
Bila aku masih tercari-cari yang Hakiki?
Ku tanam Husnudzan dalam hati
Berharap diterima segala amalan ini
Selagi nyawa tersimpul di nadi
Selagi Illahi ku sanjung tinggi

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati... 


Tuesday, June 19, 2012

Paternal

Hari: Sehari selepas dunia menyambut Hari Bapa
Tempat: Pizza Hut, Seksyen 7, Shah Alam
Subjek: Seorang bapa dan anak perempuan

Setelah lama menyepi tanpa entry, aku terpanggil menulis situasi, huraian yang nyata dan terperinci, sesuatu yang mungkin kita benci atau mungkin sesuatu yang bakal kita ingati. Seperti yang sering kali, aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...

Seorang Ayah dalam lingkungan 50an, berkaca mata, kelihatan berpendidikan tinggi, mungkin berada tapi tampak sederhana.

Seorang gadis remaja, sekitar lingkungan umur 19-20 tahun, berkulit cerah, bertudung bawal, berwajah naif, sopan dan tenang.

Masuk dan duduk. Senyap dan sunyi ruang-ruang diantara mereka. Tanpa bahasa, tanpa tanya dan tanpa kata-kata. Berdua mereka skali sekala bertembung pada pandangan mata, tapi masih gagal dikesan bunyi suara. Getaran ditangkap telinga, kelibat Berry Hitam ditangan gadis remaja menjelma, tersenyum dia memandang tepat kearah screen yang bercahaya. 

Wajah lesu dan dimamah usia itu cuma terdiam membisu, tatkala waktu berlalu, dia pula mencuba sesuatu, dikuis-kuis screen lebar berjenama buah-buahan itu. Mereka berdua kini tenggelam dalam dunia ciptaan manusia ditelapak tangan mereka yang nyatanya sementara dan palsu.

Aku disitu, merenung dan berfikir jauh, andai ini malam terakhir kalian bersama, andai ini makan malam terakhir dalam riwayat dunia, apa memori dan kata-kata terakhir yang mampu dikenang dia? cuma gambaran situasi tanpa suara? atau cuma penyesalan tidak berguna?

Kenapa mereka tidak hargai masa ini? Kenapa mereka tidak menghargai semasa mereka masih memiliki? Tahukah mereka, ada yang sanggup mati untuk saat begini? Tak kurang juga yang berdoa untuk diberi peluang kedua mengulang kembali detik indah ini? Sedarlah, mereka tidak selamanya disisi, teknologi takkan mampu mengembalikan nyawa orang yang kamu sayangi, wang ringgit takkan mampu membeli sesaat pun masa yang telah berlalu pergi. 

Semakin jauh aku terfikir, semakin banyak masa berlalu pergi, mereka berdua kekal dalam situasi begitu sedari tadi, tiada kata yang mampu aku bantu, siapalah aku? Cuma pencerita gila yang sering disalah erti kerana berfikir tentang situasi? Adakah dunia akan peduli? Atau yang bodoh dan tak berfikir terus mencaci? Biar kan aku disini, mengingatkan diri dan mereka yang masih sudi mencari, mencari sesuatu yang lebih pasti, agar tidak berulang situasi begini.

Sahabat, hargailah mereka selagi mereka bernyawa, sayangilah mereka selagi mereka masih ada, berceritalah selagi mereka mampu mendengar jelas setiap kata-kata, berkongsilah selagi masih ada ruang bersama, taatlah dan bahagiakanlah mereka selagi nyawa masih berpusing didada, simpan dan semat setiap saat memori dalam lipatan minda dan hati, kenang ia dan jangan pernah biarkan ianya pudar lagi, agar nanti mereka sentiasa dihati, agar berteman pahala pulang kesana nanti.

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Wednesday, June 06, 2012

Detik

Dari celahan manusia itu kau datang
Memaksa mata tak henti memandang
Degupan normal kini bergendang
Mungkinkah rasa kembali pulang?

Gelisah dalam dada
Tak terus semua bicara
Hendak ku luah tak kena gaya
Hendak bertanya tapi bagaimana?

Tak disapa tak lagi berjumpa
Tak ditanya menyesal jadinya
Langkah disusun diatur kata
Agar nampak semuanya sempurna

Berbalas indah segala tanya
Detik kenangan kini tercipta
Bersulam suka pandang pertama
Mungkin ini penutup cerita

Malam kini lebih bermakna
Mimpi pelengkap rindu menjelma
Siang kini bertambah ceria
Realiti nyata lebih mempersona

Paksa aku bangun dari sakit dulu
Buat aku yakin dengan rasa itu
Biar aku kembali percaya pada rindu
Agar terisi kekosongan disitu

Terima kasih Tuhan yang Esa
Setelah berduka kau beri cahaya
Setelah sakit kau sembuh luka
Setelah mati ku hidup semula

Terima kasih bidadari dunia
Susah dan senang kita bersama
Melukis cita-cita mencipta bahagia
Agar kasih kekal selamanya

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...



Friday, June 01, 2012

Bisik


"Maaf, saya tak bagi awak hati, tapi saya akan ajar awak mencintai, supaya nanti awak lebih tahu menghargai, awak lebih kenal diri awak sendiri, dan bila nanti kita saling melengkapi, hati ini akan jadi milik awak dengan sendiri dan saya harap masa tu, hati ini takkan pernah lagi ditinggal pergi"- John Bear




Thursday, May 24, 2012

Bila

Bila berdua kita kuat
Bila seorang kita lihat

Bila berdua kita mengata
Bila seorang kita terlupa

Bila berdua kita berani
Bila seorang kita menyepi

Bila berdua kita menghina
Bila seorang kita berpura-pura

Bila berdua kita mencemuh
Bila seorang kita mengeluh

Bila berdua kita gembira
Bila seorang kita terluka

Bila berdua kita bercerita
Bila seorang kita tertanya

Bila berdua mencipta dosa
Bila seorang menghitung pahala

Bila berdua menabur fitnah
Bila seorang berpaling tadah

Bila berdua memori tercipta
Bila seorang rindu menerpa

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Monday, May 21, 2012

Sayap Sayap Patah





Eh...patah dah ni..macam mana hang nak terbang dengan sayap lagu ni? Takpa la aku try bawak balik, mana la tau, kot-kot buleh sapu ubat bagi okay...aku cuba semampu yang buleh, sebab aku percaya, sedangkan hati yang patah pun buleh elok, tangan yang patah terkeluaq tulang pun buleh baik, ni kan pulak sayap hang kan?

Aku cuba untuk jaga hang elok-elok, bagi hang makan, supaya hang kuat, supaya hang cepat sembuh, aku halau semua nyamuk, semut, kucing dan mana-mana binatang lain yang ada sekeliling hang, aku cuba sedaya upaya lindungi hang, supaya hang tak kena gigit, supaya hang tak terdedah pada penyakit yang lain, aku sapu ubat kat sayap tu, biaq cepat okay, sebab aku tau apa rasa ada kat bawah, bila kawan-kawan hang semua riang terbang membelah angin, bermain awan, tapi hang jatuh menyembah bumi, hang sekadar mampu memerhati keseronokan tu, kalau hang ada pasangan pun, dia dah mesti blah dengan yang lain, mana dak, hang dah jatuh, takkan dia nak pandang hang? 

Dah jadi lumrah, orang pandang ke ataih kan? mana nak pandang bawah? Aku tau hang tak pernah mintak benda ni dan hang tak pernah mau pun, tapi hang kena pecaya semua benda yang jadi ni ada hikmah dia, mau takmau hang kena berkongsi hina sama level dengan aku, yang cuma mampu bermimpi untuk terbang, jangan takut, walaupun aku tak pernah terbang, tapi aku yakin dengan rasa itu, aku betui-betui kenai dan arif dgn rasa yang macam tu. Kekecewaan...

Ambik masa hg untuk pulih, aku sentiasa ada kat sini, aku akan cuba sedaya upaya untuk buat hang mampu terbang balik nanti, sapa tau, lepaih sayap hang dah okay nanti, hang mampu terbang lebih tinggi dan laju dari sebelum ni? Hang kena belajaq pecaya pada diri, aku cuma mampu pulihkan sayap hang, tu pun dengan izin Tuhan, tapi aku tak mampu pulihkan semangat hang, hang kena sungguh-sungguh untuk bagi semangat hang pulih balik macam dulu. 

Kalau hang dah okay nanti, aku harap hang tak lupakan aku, aku tak mintak apa-apa balasan, aku tak mintak hang mai balik jumpa aku setiap hari, aku tolong hang sebab aku tau macam mana rasa dia bila hang ada kekurangan, macam mana rasa dia ditinggaikan, macam mana rasa dia terhina, macam mana rasa dia disisihkan, macam mana rasa dia bila orang lupakan hang bila hang kat bawah, macam mana rasa dia bila takdak sapa-sapa peduli pasai hati hang, takdak sapa peduli apa hang rasa, yang lagi sedih, bila dalam sekelip mata orang dah hilangkan hang dari memori depa, aku harap hang tak jadi macam tu, aku harap masa hang dah kat langit nanti, aku sentiasa dalam hati hang, sentiasa tersemat rapi dalam setiap lipatan memori hang, aku tau, aku bukan sapa-sapa, aku tak pernah layak untuk apa-apa, tapi percaya lah, aku jugak manusia biasa, yang hanya mampu izinkan rasa...

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...