Thursday, May 24, 2012

Bila

Bila berdua kita kuat
Bila seorang kita lihat

Bila berdua kita mengata
Bila seorang kita terlupa

Bila berdua kita berani
Bila seorang kita menyepi

Bila berdua kita menghina
Bila seorang kita berpura-pura

Bila berdua kita mencemuh
Bila seorang kita mengeluh

Bila berdua kita gembira
Bila seorang kita terluka

Bila berdua kita bercerita
Bila seorang kita tertanya

Bila berdua mencipta dosa
Bila seorang menghitung pahala

Bila berdua menabur fitnah
Bila seorang berpaling tadah

Bila berdua memori tercipta
Bila seorang rindu menerpa

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Monday, May 21, 2012

Sayap Sayap Patah





Eh...patah dah ni..macam mana hang nak terbang dengan sayap lagu ni? Takpa la aku try bawak balik, mana la tau, kot-kot buleh sapu ubat bagi okay...aku cuba semampu yang buleh, sebab aku percaya, sedangkan hati yang patah pun buleh elok, tangan yang patah terkeluaq tulang pun buleh baik, ni kan pulak sayap hang kan?

Aku cuba untuk jaga hang elok-elok, bagi hang makan, supaya hang kuat, supaya hang cepat sembuh, aku halau semua nyamuk, semut, kucing dan mana-mana binatang lain yang ada sekeliling hang, aku cuba sedaya upaya lindungi hang, supaya hang tak kena gigit, supaya hang tak terdedah pada penyakit yang lain, aku sapu ubat kat sayap tu, biaq cepat okay, sebab aku tau apa rasa ada kat bawah, bila kawan-kawan hang semua riang terbang membelah angin, bermain awan, tapi hang jatuh menyembah bumi, hang sekadar mampu memerhati keseronokan tu, kalau hang ada pasangan pun, dia dah mesti blah dengan yang lain, mana dak, hang dah jatuh, takkan dia nak pandang hang? 

Dah jadi lumrah, orang pandang ke ataih kan? mana nak pandang bawah? Aku tau hang tak pernah mintak benda ni dan hang tak pernah mau pun, tapi hang kena pecaya semua benda yang jadi ni ada hikmah dia, mau takmau hang kena berkongsi hina sama level dengan aku, yang cuma mampu bermimpi untuk terbang, jangan takut, walaupun aku tak pernah terbang, tapi aku yakin dengan rasa itu, aku betui-betui kenai dan arif dgn rasa yang macam tu. Kekecewaan...

Ambik masa hg untuk pulih, aku sentiasa ada kat sini, aku akan cuba sedaya upaya untuk buat hang mampu terbang balik nanti, sapa tau, lepaih sayap hang dah okay nanti, hang mampu terbang lebih tinggi dan laju dari sebelum ni? Hang kena belajaq pecaya pada diri, aku cuma mampu pulihkan sayap hang, tu pun dengan izin Tuhan, tapi aku tak mampu pulihkan semangat hang, hang kena sungguh-sungguh untuk bagi semangat hang pulih balik macam dulu. 

Kalau hang dah okay nanti, aku harap hang tak lupakan aku, aku tak mintak apa-apa balasan, aku tak mintak hang mai balik jumpa aku setiap hari, aku tolong hang sebab aku tau macam mana rasa dia bila hang ada kekurangan, macam mana rasa dia ditinggaikan, macam mana rasa dia terhina, macam mana rasa dia disisihkan, macam mana rasa dia bila orang lupakan hang bila hang kat bawah, macam mana rasa dia bila takdak sapa-sapa peduli pasai hati hang, takdak sapa peduli apa hang rasa, yang lagi sedih, bila dalam sekelip mata orang dah hilangkan hang dari memori depa, aku harap hang tak jadi macam tu, aku harap masa hang dah kat langit nanti, aku sentiasa dalam hati hang, sentiasa tersemat rapi dalam setiap lipatan memori hang, aku tau, aku bukan sapa-sapa, aku tak pernah layak untuk apa-apa, tapi percaya lah, aku jugak manusia biasa, yang hanya mampu izinkan rasa...

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Thursday, May 10, 2012

Bidadari Tanpa Sayap


Gedebushhh! Argghhh!!! Tolong!!! Tolong!!!...Blurpp...Blurpp...To..Blurpp..looog!! Blurpp...long....Blurpp...Erkk...Ahh..Toooo...longgg....Ahhhh....Bluuurppp.....Bluuuppp...

Disini kah penamat hidup aku? Beginikah pengakhiran cerita ini? Kalau aku tahu begini, aku pasti belajar berenang dahulu, sekarang semua dah terlambat. Aku semakin lemah, tak berdaya bertahan lagi, kelibat tebing semakin hilang dimata, nafas tersekat-sekat menunggu masa terhenti seketika, buih-buih itu seakan simpati menemani aku yang semakin dihanyut pergi, harapan semakin tiada, cuma menunggu keajaiban menjelma. Perlahan-lahan tanpa sedar, aku dibawa bertamu ke dasar, aku hanya mampu melihat, cahaya diatas semakin menyembunyikan diri. Tamat lah semuanya berbisik aku pada hati.

Bushhhhh! Dalam kesamaran air yang memenuhi ruang mata itu, aku dapat lihat kelibat tangan lembut itu dibenamkan, berkuku gelas, menarik aku pantas keatas! Alhamdulillah! Masih ada harapan! aku diheret ke tepi. Longlai aku menyembah bumi, menghirup dalam-dalam udara yang dulu tiada nilai bagi aku, tak henti-henti aku memuji dan mensyukuri rahmat oksigen itu. Setelah puas aku bernafas bersulam batuk yang memeritkan dada, nafas aku kembali normal. Nanti dulu! Siapa yang tarik aku tadi?!

Terpandang aku kesudut itu, susuk gadis itu dari tadi memerhati aku tanpa aku sedari, dia gariskan secebis senyuman pada raut wajahnya dan pipinya berlubang sedikit seketika, dia gadis berlesung pipit. Ya Allah! Siapa ni?! Hantu? Malaikat? Bidadari? Syaitan? satu persatu nama menjelma dalam minda. Aku tak pasti, aku takut. Tapi dia yang membantu tadi, kerana tiada siapa disitu. Aku beranikan diri menyapa..."Errkk...terima kasih...Kalau tiada awak tadi, tah apa la nasib saya..hurmmm...awk ni siapa? Susuk itu menghampiriku, harum baunya, kemas penampilannya, bersih serba serbi berbaju putih. "Siapa saya? Saya doa awak...Tadi awak berhajat kan? Jadi saya bantu awak, kebetulan ditakdirkan saya lalu disini tadi."

Aku terdiam...Terima kasih yang Esa, tubuh yang hina dan penuh dengan dosa ini masih diperkenankan permintaannya, dimakbulkan hajatnya. Jarang aku melihat wajah yang cukup menenangkan begini, "Erkk..tapi awak siapa?". Matanya masih terus menatap aku dengan penuh yakin. "Saya? Saya Bidadari, dan mulai hari ini, saya bidadari penjaga awak". Aku terdiam dengan jawapan itu. Sukar dipercayai, namun telah pun terjadi, jadi aku harus yakin pada qada dan qada Illahi. Kini senyumanya aku sapa manja, aku terpesona dalam nada syukur, aku jatuh cinta dalam saat pertama, dan aku bahagia cuma dengan secebis seyumannya.

"Mulai hari ini, saya akan cuba jaga awak, menemani setiap malam-malam sunyi awak, menghiasi setiap hari-hari awak, menjadi tempat mengadu dan bermanja awak, dan saya cuba lindungi awak selagi saya mampu. Awak cuma perlu panggil saya, dan saya akan ada disini, walaupun kadangkala saya terpaksa jauh dari awak, percaya lah, selagi jantung awak berdegup, saya akan wujud dalam setiap hembusan nafas awak, biar masa yang menentukan, berapa lama kita bakal bersama. Padamkan semua kesakitan dan memori duka lalu, dengan hikmah kita ditakdirkan bertemu. Mulai hari ini, hidup dengan percaya, ukirkan senyuman disetiap waktu dan ketika, jangan pernah putus asa, jangan biar sedih mengambil tempat ceria, jangan biarkan nasib mengambil alih sebelum puas mencuba," berbisik merdu si bidadari tadi dan angin membawa bahasanya lembut menyapa telinga dan terus singgah ke hati.

Aku terdiam seketika. Tiada bahasa yang dapat aku aturkan untuk membalas kata-katanya tadi. Aku bersyukur dengan rahmat ini, aku bersyukur kerana masih disayangi, aku bersyukur kerana masih ada yang sudi, aku sedar, aku tidak pernah layak untuk semua ini. Mungkin ini sebahagian dari aturcara Illahi, yang pasti aku masih bernyawa lagi, lebih bersemangat untuk meneruskan hidup ini. Dia berpaling dan berlalu pergi. "Nanti dulu, siapa nama awak?".

"Saya? Bidadari tanpa sayap..."

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...






Tuesday, May 08, 2012

Madah dendam

Yaa...aku masih disudut itu, kali ini aku tidak memerhati, tidak berdaya lagi untuk berdiri, terduduk longlai memeluk diri, mengharap mati menjemput pergi...Apa lagi salah aku? Salah kerana memilih menjadi diri sendiri? Aku tak pernah minta diciptakan begini, aku tak pernah minta dikenali, jauh sekali diminati, aku hanya mahu jadi aku, yaa...aku yang kau teramat benci itu. Salah itu diputar dan dimain-mainkan berulang kali, aku akur, aku takkan mengundur, aku terus meneguk setiap salah itu, sakit itu, aku telan bulat-bulat, tanpa pernah peduli diri sendiri, dengan harapan yang dah terbina itu terjalin kembali. Kau tetap disitu, penuh dendam, caci dan maki, menghentam segenap pelosok dinding-dinding janji, dengan harapan ianya dimungkiri, dengan harapan aku menyerah diri?

Aku terus bertahan, mengharap secebis belas ihsan, mengharap ruang dan peluang, kerana aku sentiasa berpegang pada satu, pada apa yang aku percaya dahulu, aku tahu bezakan mana sayang, mana suka, mana sahabat, mana cinta, dan mana pendusta. Tak terhingga sakit, aku biarkan masa makan itu menjauh, aku biarkan tidur itu terganggu, aku biarkan tugasan harian bercelaru, kau pun tahu, kau benar-benar faham apa akan berlaku, tapi kau bersorak gembira bila aku begitu, pernah terjadi dahulu, tanpa aku sedar, ia terjadi lagi, kali ini seakan-akan berharap tercipta situasi, masa yang ditunggu kini pasti? Aku terus merayu, menadah tangan mengharap sekeping kemaafan dan peluang, peluang membetulkan segala kesalahan, kesalahan yang dikatakan punca kesudahan segala cerita, penutup segala peluang yang ada.

Aku tak biasa hidup begini, sendiri, berseorangan, sunyi dan sepi, dah terbiasa kau disisi, dah terbiasa percaya pada janji, telephone tidak lagi berbunyi, tangga shopping mall tidak lagi kita daki, movie tidak lagi dinanti, wall facebook semakin sunyi, bersama memang takkan pernah terjadi, semuanya hampir tak pasti, mahu saja rasanya aku telan berpapan panadol biar hilang segala sakit, mahu saja rasanya aku kelar nadi ini biar berhenti bergerak lagi, mahu saja rasanya aku hisap sekotak rokok sekaligus biar tersumbat paru-paru ini biar tersekat nyawa itu nanti. Nanti dulu, masih ada yang perlu aku, masih ada yang sayang aku, dimana ketawa mereka bila aku tiada nanti? Tak mengapa, aku sembunyikan kesedihan ini, dibalik setiap senyum, ketawa, cerita dan perwatakan ceria.

Kini aku mengerti, kenapa ruang tidak diberi, rupanya yang kosong itu sudah terisi, pengganti sudah lama menanti, keseronokan telah lama dirangka tanpa aku sedari, patut lah begitu, sekejam itu, tanpa langsung peduli, tanpa ada sebarang simpati, kerana bahagia sudah dikecapi, tak mengapa, aku pasrah, aku akur, bermandi hinaan dah menjadi lumrah kehidupan, disalah erti dan dibenci dah terbiasa menjadi makanan, sunyi, sakit, sedih, kecewa dah biasa jadi peneman. Andai rupa menjadi ukuran, tidak mustahil aku terbuang, andai harta jadi penilaian tidak mustahil aku tak dipandang, andai kerjaya jadi taruhan, tidak mustahil aku diketepikan...Apakah ini? Balasan untuk setiap perbuatan? Sayang yang dah lama terpadam? atau Dendam yang dah lama tersulam?

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

Thursday, May 03, 2012

Boomerang

 


Kakadu, sebuah perkampungan penduduk peribumi Australia, yang jauh terperosok di wilayah utara negara yang juga dikenali dengan nama jolokan "The Land Down Under". Sebuah perkampungan yang separa bertamadun, dan tidak pernah peduli dengan kesibukan dan hiruk pikuk bandaraya mereka yang sedang pesat membangun dan mengejar kemajuan dunia yang semakin rancak kehadapan. 

Nmatjera, seorang remaja lelaki berusia 25 tahun, pandai bermain didgeridoo dan juga pandai memburu, mengambil alih tempat selaku ketua keluarga selepas ayahnya dijemput maut setelah diserang sakit misteri, bertanggungjawab menjaga ibu dan seorang adik lelakinya, Inmatjera seorang remaja lelaki berusia 13 tahun. Hari ini tiba masanya, hari yang dinanti-nantikan oleh Inmatjera, buat pertama kalinya dia akan menemani abangnya Nmatjera, memburu untuk makan malam. Setelah restu dipohon dari ibu tercinta, dua remaja lelaki itu keluar dari rumah dengan kelengkapan yang ala kadar. Setibanya di tapak pemburuan...

Inmatjera : Abang! Arnab!

Nmatjera : Shhh...jangan kuat sangat...lari dia nanti

Sapa Nmatjera tenang sambil kedua beradik itu bersembunyi dibalik bongkah batu memerhatikan seekor arnab sedang kusyuk menjamah makanan. 

Nmatjera : Nah ambik boomerang ni, ni ayah punya, hari ini, kau dapat peluang guna boomerang ni, boomerang ni diwariskan untuk abang, tapi abang bagi kau cuba. Mungkin bawak tuah untuk kau hari ni. 

Inmatjera : Errrkkk...Tapi bang, adik tak reti laa, macam mana? takkan abang nak guna boomerang biasa tu aja, abang bagi saya jelah boomerang biasa tu, abang pakai ayah punya, adik tak layak lagi la.

Nmatjera : Laaa..takpe, darah yang mengalir dalam badan kau tu pun, sama macam dalam badan abang ni, jadi kau layak, jangan risau, abang ajar, kau pegang kat bawah ni, kau baling sekuat hati kau kat arnab tu, jangan pejam mata, yakin, tarik nafas dalam-dalam, lepas tu baling kuat-kuat, ok?

Inmatjera : Ok bang, saya cuba...

Sambil menarik nafas dalam-dalam, Inmatjera menghayunkan boomerang milik ayahnya itu sekuat hati tepat kearah arnab tersebut. Nmatjera cuma tersenyum melihat gelagat adik tunggalnya. Dari raut wajahnya itu jelas terpancar ketakutan dan kerisauan yang membaluti setiap penjuru fikirannya. Boomerang yang di baling Inmatjera meluncur laju membelah angin dan mengeluarkan bunyi yang aneh bersulam merdu. Tersasar! balingan itu terlalu tinggi, dan sekarang boomerang itu berpatah balik tepat ke arah Inmatjera! 

Inmatjera : Abang! Abang! Tolong! Tolong!

Pang!!! hinggap lah boomerang balingan Inmatjera tepat ke arah kepalanya. Dalam kekalutan yang berlaku, Nmatjera dengan pantas mengeluarkan boomerang satu lagi dan membaling tepat ke arah arnab yang sedang cuba melarikan diri selepas kegagalan balingan pertama adiknya itu. Tuuppp! Tepat mengenai badan arnab tersebut. Nmatjera tersenyum melihat telatah adiknya yang sedang mengerang kesakitan, sambil bangun untuk menangkap arnab yang berjaya diburunya sebentar tadi. Setelah arnab tadi telah diikat, Nmatjera menghampiri adiknya dan duduk disebelah Inmatjera yang sedang kusyuk menggosok kepalanya yang sudah pun benjol sedikit.

Nmatjera : Sakit tak?

Inmatjera : Hurmm sakit jugak laa...Abang la ni, adik dah cakap, adik tak reti!

Nmatjera tersenyum sinis, sambil tanganya cuba menggosok kepala adik kesayangannya itu.

Nmatjera : Adik, boomerang tu ibarat takdir, sesuatu yang dah ditentukan, kuat mana pun kau baling, jauh mana pun dia pergi, kalau kau tak buat dengan betul, dan tak berusaha sungguh-sungguh, memang takkan kena pada sasaran. Kau boleh pakai boomerang terbaik dunia sekali pun, tapi kalau kau tak reti dan bukan rezeki kau, keputusan dia tetap sama. Ni kehidupan dik, jauh mana pun pegi boomerang tu, dia tetap patah balik kat kau kalau tak kena tepat pada sasaran. Macam kesilapan yang kau buat, kau akan terima balik balasan dan akibatnya, cuma lambat atau cepat, kalau kau pandai dan cukup pengalaman, kau boleh sambut balik boomerang tu, dan buat balingan yang seterusnya, tapi kalau kau tak pandai tangkap, kau kena lah tanggung akibat dari tindakan kau tadi. haaa...macam tu la kehidupan...Haha..

Ketawa Nmatjera melihat telatah adiknya yang masih lagi mengerang kesakitan.

Nmatjera : Dah, jom balik...Nasib baik kau nampak arnab ni tadi, ada la makan malam kita hari ni, tapi untung laa kita hari ni, arnab dapat, telur sebijik pun dapat kat kepala kau tu kan? hahahahaha...takpa lain kali kau cuba lagi. Abang pun dulu, ayah yang ajar. Lama-lama nanti pandai la tu kan?

Inmatjera : Hahahaha...adoooi..

Nmatjera meletakkan tangan diatas bahu Inmatjera dan berjalan pulang sambil dalam fikiranya berbisik "Hari ini kau belajar sesuatu yang lebih penting dari memburu, kau belajar erti kehidupan yang sebenar, sesuatu yang takkan mampu kau belajar dari buku mahupun berguru, dan aku harap satu hari nanti memori yang sempat aku berkongsi dengan ayah ini, dapat kau wariskan dan turunkan kepada anak-anak kau pula. Harinya akan tiba dan kau pasti merindui saat ini." Tersenyum Nmatjera, dalam ketenangan dengan seribu makna kepuasan...

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...