Tuesday, June 19, 2012

Paternal

Hari: Sehari selepas dunia menyambut Hari Bapa
Tempat: Pizza Hut, Seksyen 7, Shah Alam
Subjek: Seorang bapa dan anak perempuan

Setelah lama menyepi tanpa entry, aku terpanggil menulis situasi, huraian yang nyata dan terperinci, sesuatu yang mungkin kita benci atau mungkin sesuatu yang bakal kita ingati. Seperti yang sering kali, aku masih disudut itu, memerhati dan terus memerhati...

Seorang Ayah dalam lingkungan 50an, berkaca mata, kelihatan berpendidikan tinggi, mungkin berada tapi tampak sederhana.

Seorang gadis remaja, sekitar lingkungan umur 19-20 tahun, berkulit cerah, bertudung bawal, berwajah naif, sopan dan tenang.

Masuk dan duduk. Senyap dan sunyi ruang-ruang diantara mereka. Tanpa bahasa, tanpa tanya dan tanpa kata-kata. Berdua mereka skali sekala bertembung pada pandangan mata, tapi masih gagal dikesan bunyi suara. Getaran ditangkap telinga, kelibat Berry Hitam ditangan gadis remaja menjelma, tersenyum dia memandang tepat kearah screen yang bercahaya. 

Wajah lesu dan dimamah usia itu cuma terdiam membisu, tatkala waktu berlalu, dia pula mencuba sesuatu, dikuis-kuis screen lebar berjenama buah-buahan itu. Mereka berdua kini tenggelam dalam dunia ciptaan manusia ditelapak tangan mereka yang nyatanya sementara dan palsu.

Aku disitu, merenung dan berfikir jauh, andai ini malam terakhir kalian bersama, andai ini makan malam terakhir dalam riwayat dunia, apa memori dan kata-kata terakhir yang mampu dikenang dia? cuma gambaran situasi tanpa suara? atau cuma penyesalan tidak berguna?

Kenapa mereka tidak hargai masa ini? Kenapa mereka tidak menghargai semasa mereka masih memiliki? Tahukah mereka, ada yang sanggup mati untuk saat begini? Tak kurang juga yang berdoa untuk diberi peluang kedua mengulang kembali detik indah ini? Sedarlah, mereka tidak selamanya disisi, teknologi takkan mampu mengembalikan nyawa orang yang kamu sayangi, wang ringgit takkan mampu membeli sesaat pun masa yang telah berlalu pergi. 

Semakin jauh aku terfikir, semakin banyak masa berlalu pergi, mereka berdua kekal dalam situasi begitu sedari tadi, tiada kata yang mampu aku bantu, siapalah aku? Cuma pencerita gila yang sering disalah erti kerana berfikir tentang situasi? Adakah dunia akan peduli? Atau yang bodoh dan tak berfikir terus mencaci? Biar kan aku disini, mengingatkan diri dan mereka yang masih sudi mencari, mencari sesuatu yang lebih pasti, agar tidak berulang situasi begini.

Sahabat, hargailah mereka selagi mereka bernyawa, sayangilah mereka selagi mereka masih ada, berceritalah selagi mereka mampu mendengar jelas setiap kata-kata, berkongsilah selagi masih ada ruang bersama, taatlah dan bahagiakanlah mereka selagi nyawa masih berpusing didada, simpan dan semat setiap saat memori dalam lipatan minda dan hati, kenang ia dan jangan pernah biarkan ianya pudar lagi, agar nanti mereka sentiasa dihati, agar berteman pahala pulang kesana nanti.

yaa...aku masih disudut itu,memerhati dan terus memerhati...

1 comment: